Perkhidmatan-Perkhidmatan Utama Organisasi Tabung Baitulmal Sarawak

Sebagai satu-satunya institusi zakat yang terdapat di Sarawak, Tabung Baitulmal Sarawak menjadi wakil penuh Majlis Islam Sarawak dalam urusan mengutip, mengagih dan mentadbir dana zakat, wakaf dan sedekah yang dikumpul daripada masyarakat Islam di negeri Sarawak.

Dalam memastikan peranan TBS sentiasa menepati kehendak hukum dan seiring dengan arus semasa, fungsi utama dan aktiviti TBS dibahagikan kepada tiga elemen utama iaitu KUTIP, AGIH dan TADBIR.

Kutip

Urusan kutip ini bersandarkan Surah At-Taubah ayat 103 yang bermaksud :
"Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengan itu engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk)"
Justeru sebagai organisasi tunggal yang diberi kuasa dalam kutipan zakat dan wakaf di negeri Sarawak, TBS telah melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam pengutipan zakat, sumbangan wajib dan wakaf.

Agih

Elemen agihan zakat di TBS adalah mengikut hukum seperti yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran Surah At-Taubah Ayat 60 yang bermaksud :
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang faqir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mu’allaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah maha mengetahui, lagi maha bijaksana”
Justeru mengambilkira lapan asnaf yang telah digariskan, urusan agihan di TBS berdiri di atas prinsip ’Pendidikan Diutamakan, Kebajikan Tidak Dilupakan’ dibahagikan kepada tiga program utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan (PMTK), Program Memantapkan Kebajikan Ummah (PMKU) dan Program Membangunkan Institusi Islam (PMII).

Tadbir

Urusan tadbir pula diurus berpandukan Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001. Ia berdasarkan peruntukan ordinan yang berkaitan seperti berikut:-

  • Seksyen 43 – 55,
  • Seksyen 65 – 67,
  • Seksyen 71 – 74,
  • Seksyen 75,
  • Seksyen 82 (h), (I), (j), (k), (l), (m), (n), (o), (p), (q), (r),
  • Seksyen 88


Selain itu, TBS juga berfungsi dalam melaksanakan tanggungjawab seperti mentadbir Dana Ibnu Khaldun, pengurusan dan pengembangan hartanah Majlis Islam Sarawak (MIS), terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, perayaan-perayaan Islam, pengurusan wakaf dan inisiatif-inisiatif kualiti.